Khamis, 17 Mac 2011

♥♥♥Terima Kasih Semua♥♥♥

Alhamdulilah... Akhirnya setelah memerah keringat beberapa minggu akhirnya saya dapat menyiapkan tugasan ini. Banyak pengalaman yang diperolehi semasa menulis blog ini. Sebelum ini saya memang pernah ada blog tapi tidaklah seaktif kali ini. Tugasan ini sedikit sebanyak mengasah minat saya dalam bidang penulisan blog. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pensyarah yang menyelia subjek ini iaitu Dr. Siti Saniah bt Abu Bakar yang telah mendorong saya dan rakan-rakan untuk menulis blog. Terima kasih juga diucapkan kepada kawan-kawan yang banyak membantu menjayakan misi menyiapkan blog ini. Terima Kasih Semua. Sayang kamu semua.....

Situasi 40- Pengaruh artis dalam bahasa Melayu

Kebanyakan artis mempunyai tanda pengenalan diri yang tersendiri. Tanda pengenalan diri seperti 'lu pikirlah sendiri' yang selalu digunakan oleh Nabil iaitu pemenang Raja Lawak dan sekarang telah menjadi pelawak yang terkenal telah banyak mempengaruhi masyarakat terutamanya kanak-kanak. Mereka terdorong untuk meniru percakapan artis tersebut yang kebanyakan bahasanya tidak betul iaitu terdapat pencampuran bahasa atau kebanyakan bahasa yang digunakan ialah bahasa pasar. Sebagai contoh 'lu pikirlah sendiri'. 'lu' itu merujuk kepada awak dalam bahasa standard. Jika perkara ini berterusan sudah tentu masyarakat kita terdedah dengan bahasa yang tercemar. Selain perkataan 'lu' terdapat juga bahasa-bahasa basahan yang lain yang digunakan oleh artis yang boleh mempengaruhi masyarakat. Berikut merupakan contoh video yang menunjukkan situasi di atas.


Situasi 39- Disini atau di sini?

Situasi ini melibatkan penggunaan kata sendi yang tidak betul dalam iklan. Sepatutnya,pihak berkenaan harus peka dengan perkara ini walaupun agak kecil kerana iklan ini akan dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Selepas kata sendi  ‘di’ jikalau menunjukkan tempat dan masa mestilah dijarakkan manakala jika menunjukkan perbuatan atau yang lain mestilah dirapatkan. Hal ini jelas menunjukkan perkataan ‘disini’ mestilah dijarakkan seperti ‘di sini’. 

Bukti menunjukkan ejaan di sini dieja rapat
Selain ejaan di sini dieja rapat, terdapat kesalahan ejaan pada perkataan 'bill'. Sepatutnya 'bill' dalam bahasa Melayu dieja seperti berikut: Bil..


Situasi 38- Jaki


Situasi yang ke-38 ini ialah berkenaan dengan perkataan yang tidak pernah saya dengar iaitu ‘jaki’. Pada mulanya saya tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan perkataan jaki. Setelah diterangkan oleh rakan saya barulah saya mengetahui bahawa perkataan tersebut ialah bahasa Jawa yang membawa maksud benci. Dalam konteks ini rakan saya telah mencampurkan bahasa Melayu dengan bahasa lain iaitu bahasa Jawa. Di sini dapat lihat terdapat pencampuran kod bahasa yang mungkin boleh menyebabkan pendengar tidak memahami perkara yang dinyatakan. Perbualan antara saya dan rakan saya adalah seperti berikut:
Rakan: jaki la kau ni.
Saya : jaki? Apa tu?
Rakan: kau ni, itu pun tak tahu. Maksudnya benci la.
Saya: bahasa apa kau guna ni?
Rakan: bahasa Jawa.
Saya: La, patut la aku tak faham. Lain kali cakaplah dalam bahasa Melayu yang betul.
Ulasan: Sepatutnya rakan saya mestilah menggunakan bahasa Melayu yang betul supaya semua orang dapat memahaminya, tidak salah dia menggunakan bahasa Jawa tapi mestilah mengikut kesesuaian dan latar belakang orang yang dilawan bercakap.

Gambar Hiasan

Rabu, 16 Mac 2011

Situasi 37- Gelaran pangkat atau panggilan dalam berita.

Assalamualaikum
Situasi 37 melibatkan bahasa yang digunakan oleh pemberita. Gelaran merupakan suatu kata awalan atau akhiran yang ditambah kepada nama seseorang sama ada menandakan darjah kebesaran atau kedudukan seseorang secara rasmi tidak kira ia adalah kelayakan profesional atau akademik. Dalam sesetengah bahasa, gelaran boleh diletak di antara nama pertama atau akhir. Sedang para pakar bahasa mempergiatkan usaha untuk meningkatkan dan mengembangkan bahasa Melayu, ada dalam kalangan pembaca berita menggunakan bahasa yang tidak betul semasa menyampaikan berita. Mereka kadang kala lupa akan pangkat yang ada pada Perdana Menteri. Semasa menyampaikan berita mereka selalu menyebut Perdana Menteri dengan nama sebenar sahaja tanpa gelaran atau nama panggilan. Sepatutnya perkara ini tidak boleh dilakukan oleh mereka kerana nama gelaran seseorang sangat penting dan kita harus menghormatinya lebih-lebih lagi dalam situasi formal.

Perdana Menteri

Situasi 36- Bahasa dalam komputer

Assalamualaikum...


Situasi ini saya ingin mengajak pembaca semua meneliti sejenak bahasa Melayu yang terdapat dalam komputer. Kadang kala kita sukar untuk memahami bahasa yang digunakan dalam komputer kerana dua faktor, faktor yang pertama kita tidak biasa dengan situasi berkenaan dan situasi yang kedua pula ialah bahasa yang digunakan bukanlah bahasa Melayu standard tetapi bahasa Indonesia. Hal ini menyebabkan kita sukar untuk memahami tetapan yang terdapat di dalam komputer termasuk juga laman sesawang yang menjadi kegemaran ramai sekarang iaitu 'Facebook'. Hal ini menyebabkan masyarakat lebih suka memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa pilihan dalam komputer peribadi masing-masing.


Gambar hiasan

Situasi 35- Banyak atau Ramai

Situasi ke-35 ini melinatkan penggunaan perkataan banyak dan ramai. Pada hujung minggu lepas saya dan kawan-kawan telah pergi membuat kajian di Sabak Bernam. Sebelum berangkat kami berkumpul di tepi sungai sementara menunggu rakan yang lain bersiap. Sementara menunggu kami berbual-bual mengenai hidupan yang terdapat di tepi sungai yang sangat menenangkan kami pada pagi tersebut. Perbualannya seperti berikut:


Rakan 1: eh! tengok tu, ramainya burung. ada empat ekor burung enggang.
Rakan 2: A'ah la, ramainya burung.
Rakan 3: Bukan ramailah, banyak. mana boleh guna perkataan ramai.


ulasan: Rakan saya telah melakukan kesalahan bahasa. Sepatutnya perkataan ramai tidak boleh digunakan untuk binatang tetapi hanya digunakan untuk manusia.


Ramai burung enggang

Situasi 34- Derah lagu

Assalamualaikum....
Situasi ini juga melibatkan dialek Kelantan iaitu perkataan derah. Berikut merupakan perbualan saya dan rakan sebilik:


Rakan sebilik: Kak derah sikit lagu tu
Saya: Ha, derah?
Rakan sebilik: Kuat la kak..
Saya: Ooo...


Dalam situasi ini berlaku ketidakfahaman antara saya dan rakan sebilik, bagi saya anak jati terengganu perkataan 'derah' digunakan untuk aliran air sungai atau perbuatan sahaja. Tetapi bagi masyarakat Kelantan perkataan 'derah' atau bahasa standardnya deras digunakan juga untuk menguatkan lagu. Penggunaan perkataan deras mungkin berbeza bagi penutur dialek lain. Kerana setiap negeri mempunyai dialek yang tersendiri.


Aliran air terjun yang deras

Selasa, 15 Mac 2011

Situasi 33- Pengaruh cerita dan lagu korea

Situasi ini merujuk kepada remaja pada zaman sekarang, terutamanya remaja perempuan yang sangat suka menonton atau mendengar cerita dan lagu korea. Mereka sering terbawa-bawa perbualan yang terdapat dalam cerita tersebut dalam perbualan harian mereka sehingga meminggirkan bahasa Melayu. Bagi saya tidak salah belajar bahasa asing untuk mendapatkan ilmu tetapi janganlah membanggakan bahasa asing tersebut sehingga bahasa sendiri terabai. Contoh perkataan yang selalu diucapkan oleh remaja zaman sekarang ialah:


Sarange= saya sayang awak
Coaei= suka
Shirom= tak nak
Anyeong=hai




Situasi ini berlaku ketika saya berada di dalam bas. Seorang pelajar menyapa rakannya dan mengujarkan perkataan di atas yang tidak difahami oleh saya. Lalu saya bertanya kepada rakan sebilik yang sangat meminati cerita korea. Dialah yang memberitahu maksud perkataan-perkataan tersebut.


Berikut merupakan contoh video klip yang berkaitan dengan cerita korea:



Situasi 32 - borak

Assalamualaikum.. Situasi kali ini berkenaan dengan dialek. Pagi tadi selepas bangun dari tidur, rakan sebilik saya telah mengadu tentang dia telah digigit nyamuk. Perbualannya adalah seperti berikut:


Rakan sebilik: Kak, tengok ni tangan saya borak sampai macam ni kena gigit nyamuk.
Saya: Ha, borak? apa tu?
Rakan sebilik: Borak tu merebak atau semakin teruk la kak.
saya: Owh.


Borak merupakan dialek kelantan yang membawa maksud merebak, sangkaan saya borak tu membawa maksud bersembang seperti mana yang diketahui umum.
penyakit borak=merebak








berborak





Isnin, 14 Mac 2011

Situasi 31- Toyu

Selama 23 tahun hidup di dunia, hari ni baru pertama kali aku mendengar perkataan Toyu. Toyu ialah nama lain kicap bagi dialek kedah. Saya dapat mengetahui nama lain bagi kicap tersebut semasa menyiapkan tugasan subjek semantik. Tiba-tiba kawan saya yang berasal dari johor memberitahu bahawa dia terjumpa panggilan lain bagi kicap di internet. Pada mulanya kami agak tidak percaya dan untuk kepastian saya telah bertanya kepada seorang rakan yang berasal dari Kedah. Rakan dari Kedah tersebut juga memanggil kicap menjadi toyu. Saya tidak pasti kenapakah kicap dipanggil toyu dan saya akan cuba mencari sebabnya kerana panggilan toyu bagi saya sangat unik berbanding dengan kicap. Itulah keunikan dialek daerah yang sudah tentu menjadi kebanggaan penuturnya.

Situasi 30- sebutharga

Semalam, saya dan kawan-kawan dalam perjalanan untuk ke kelas. sepanjang perjalanan kami singgah di BE Learning untuk melihat iklan atau berita semasa yang dipaparkan di papan kenyataan. Tiba-tiba saya terpandang satu perkataan iaitu 'sebutharga'. Saya agak pelik kerana perkataan tersebut dieja rapat kerana dalam pengetahuan saya hanya kata majmuk tertentu yang boleh dieja secara rapat dan kata majmuk yang lain hendaklah dieja secara terpisah. Kata majmuk yang telah mantap ejaannya ialah:
antarabangsa, setiausaha, beritahu, sukarela, bumiputera, suruhanjaya, jawatankuasa, tandatangan, kakitangan, tanggungjawab, kerjasama, warganegara, olahraga, pesuruhjaya dan matahari.


Berdasarkan contoh di atas, jelas terbukti bahawa perkataan 'sebutharga' tidak tergolong dalam kata majmuk yang telah mantap, oleh itu 'sebutharga' mesti dieja terpisah seperti berikut:
                                
                                   "SEBUT HARGA"




Kesalahan ejaan kata majmuk.

Ahad, 13 Mac 2011

Situasi 29- susah sangat nak sebut baiklah!

Situasi ke-28 berkenaan komunikasi pelajar dalam situasi formal. Walaupun sudah melangkah ke semester enam, tetapi ramai dalam kalangan kita masih tidak dapat membiasakan diri kita dalam situasi formal dan berbahasa menggunakan bahasa Melayu yang betul. Contohnya perkara yang paling senang pun kita sering tidak cakna iaitu penggunaan perkataan 'ok'. Ok yang membawa maksud baiklah, menjadi kegemaran semua orang termasuk mahasiswa dan mahasiswi yang terpelajar. Di dalam situasi tidak formal mungkin kita tidak pandang kesalahan-kesalahan tersebut, tetapi agak ketara dalam situasi formal. Jika perkara yang senang pun kita tidak dapat mengubah, apatah lagi perkara yang susah. Baiklah, sama-samalah kita renungkan.



Situasi 28- Dialek Hulu Terengganu

Situasi ini berlainan dengan situasi sebelumnya, saya ingin mengajak kawan-kawan untuk mengenali dan belajar keunikan dialek hulu terengganu yang agak berbeza dengan dialek terengganu. contohnya:


mari = marik
suka = sukey
sini = sinik
balik = balaik
ke mana = kuane
putih = putaih
sakit = sakait
bukit = bukait


Berikut merupakan contoh dialek hulu terengganu yang berbeza daripada dialek terengganu. Sebagai penduduk asal daerah tersebut, saya sedikit sebanyak telah mengkaji dan menilai penggunaan dialek masyarakat setempat. Dapat saya simpulkan bahawa setiap kampung dalam daerah hulu terengganu mempunyai dialek yang tersendiri bergantung kepada pengaruh luar yang masuk ke dalam kampung tersebut. Sekian. harap mendapat pengetahuan yang baru mengenai dialek hulu terengganu.

Situasi 27- Dekat sini

Penggunaan bahasa basahan sering berlaku semasa pembentangan di dalam kelas. Saya dan kawan-kawan sering kali ditegur oleh pensyarah tentang penggunaan kata sendi yang betul. Contoh kesalahan yang dilakukan semasa pembentangan:


"Dekat sini saya ada tunjukkan gambar-gambar yang berkaitan dengan pencemaran," kata Ahmad.


Sepatutnya perkataan 'dekat' mesti digantikan dengan kata sendi 'di'. Walaupun perkara ini telah banyak kali ditegur oleh pensyarah, namun saya dan rakan-rakan masih tidak mampu mengawal komunikasi semasa pembentangan kerana sudah menjadi kebiasaan dan amalan kami. Saya berharap situasi ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang dan sama-samalah kita meningkatkan bahasa kita ke arah bahasa Melayu tinggi.


Pensyarah yang sering menegur kesilapan kami.

situasi 26- Makro teaching

Assalamualaikum...
Situasi kali ini berkenaan dengan subjek yang dilalui oleh pelajar-pelajar semester enam iaitu subjek EDU. Saya tidak pasti sama ada kawan-kawan perasan atau tidak perkataan yang kita gunakan setiap hari. "Makro Teaching". Tidak bolehkah kalau kita sebut pengajaran besar atau apa-apa perkataan yang sesuai dalam bahasa Melayu sebagai ganti perkataan tersebut. Saya rasa usaha ini boleh dilakukan sebagai satu langkah memperkasakan bahasa Melayu di Universiti atau di sekolah.

Gambar hiasan


Situasi 25- Short sem

Sejak akhir-akhir ini perkataan "short sem" sering meniti di bibir pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Idris. Perubahan jadual menyebabkan pihak universiti menawarkan kursus "short sem". Saya seringkali tergelak apabila mendengar mereka menyebut "short sem". Terbelit-belit lidah mereka, tidakkah mereka merasa susah untuk menyebut perkataan itu. Saya rasa lebih senang dan sedap didengar jika mereka menyebut semester pendek, lidah mereka pun tidak akan tersasul dan terbelit-belit lagi. Faktor mereka tidak menggunakan bahasa Melayu mungkin mereka tidak tahu "short sem" dalam bahasa Melayu apa, atau mereka malu untuk menuturkannya dalam bahasa ibunda sendiri, apa nak jadi dengan bangsa kita? Bahasa lain dijunjung hingga terbelit lidah, bahasa sendiri pandang tak mahu.


Mahasiswa bukan setakat segulung ijazah...

Situasi 24- Sekop atau skarf

Semalam saya terdengar perbualan rakan serumah. Perbualannya berbunyi seperti ini:


Rakan serumah 1: Weh, hang ada nampak tak sekop aku?
Rakan serumah 2: Sekop? bila masa mung bawa sekop datang sini?
Rakan serumah 1: Hang jangan duk wat lawak la, sekop yang duk atas kepala aku tu...
Rakan serumah 2: La skarf ke?
Rakan seruma 1: Ho, yang tu la..


Di sini telah berlaku salah faham di antara dua orang pelajar yang seorangnya berasal dari Kedah dan seorang dari Terengganu. Penutur dialek kedah menggunakan sekop yang menunjukkan skarf. Menurut kamus dewan edisi keempat sekop bermaksud penyodok tanah manakala skarf pula bermasud kain berbentuk segi empat, segi tiga atau panjang yang dipakai di kepala.
Contoh skarf.

Situasi 23- Induksi Set atau Set Induksi???

Hampir setiap hari terdapat pertentangan pendapat antara pensyarah-pensyarah di UPSI. Ada yang berpendapat bahawa set induksi salah kerana mengikut bahasa Inggeris. Ada juga berpendapat induksi set pula yang salah. Kadang-kadang sebagai seorang pelajar yang harus tahu perkara ini, saya menjadi keliru untuk memilih dan menggunakannya dengan betul. Tetapi, buat masa sekarang saya memilih untuk memilih induksi set sebagai salah satu langkah pertama untuk menarik minat pelajar terhadap pengajaran yang terdapat dalam rancangan pengajaran harian.


Contoh induksi set yang boleh digunakan di dalam kelas.

Situasi 22- Bahasa Inggeris dalam dialek

Setelah meneliti kehidupan seharian, didapati dalam dialek-dialek tertentu banyak menggunakan perkataan bahasa Inggeris yang telah diubah dan disesuaikan mengikut dialek masing-masing. Antara dialek-dialek tersebut ialah:


Roba(dialek terengganu)= Rubber (pemadam)
Passengjing(dialek kelantan)=Pasengger(penumpang)
Bekwah(dialek kelantan)=Big work(kerja sama-sama)
Riweh(dialek kelantan)=reverse(undur)
Conna(dialek kelantan dan terengganu=corner(membelok)
Bok(dialek kelantan)=book(buku)


Hal ini menunjukkan pengaruh penjajah pada zaman dahulu sangat mempengaruhi kehidupan masyarakat di Kelantan dan Terengganu.

Situasi 21- Terima Kasih Pak Cik

Setiap hari saya melalui situasi di atas iaitu budaya berterima kasih yang selalu diamalkan oleh pelajar UPSI. Walaupun semasa menaiki bas pelajar-pelajar UPSI sering berebut-rebut, tetapi semasa turun daripada bas semua orang tidak ketinggalan akan mengucapkan "terima kasih" kepada pemandu bas. Situasi ini memperlihatkan para pelajar kuat mengamalkan nilai-nilai positif dalam diri mereka. Selain itu, dengan mengucapkan terima kasih, pemandu-pemandu bas akan rasa dihargai kerana jasa mereka membawa bas yang dipenuhi pelajar sangatlah besar iaitu menolong orang untuk mendapatkan ilimu. Amalan berbudi bahasa ini harus kita amalkan sampai bila-bila dan juga untuk generasi akan datang.

Jumaat, 11 Mac 2011

Situasi 20- Pada masa ini atau kini

Walaupun sudah berada di IPTA, ramai lagi dalam kalangan mahasiswa tidak tahu membezakan penggunaan ayat pada masa ini dan kini. Semasa pembentangan di dalam kelas ada segelintir pelajar yang menggunakan ayat pada masa kini. ayat tersebut salah kerana "kini" sudah merujuk kepada pada masa ini. Jikalau pada masa kini digunakan akan menjadi lewah. Saya tidak pasti sama ada mahasiswa tidak mengetahui tentang perkara ini atau tidak sengaja menuturkannya. Hal ini merupakan perkara biasa yang tidak sepatutnya kita melakukan kesalahan bahasa.


Khamis, 10 Mac 2011

Situasi 19- Proton Siti

Pada pukul lima tadi saya dan kawan-kawan menaiki bas UPSI dari Taman Bernam ke kampus. Saya agak terkejut dengan paparan kertas yang terdapat pada cermin hadapan bas. "Proton Siti" ejaan city  telah diubah menjadi nama orang iaitu Siti. saya tidak pasti sama ada pihak yang berkenaan saja membuat lawak atau beliau betul-betul tidak mengetahui ejaan sebenar perkataan city  tersebut. Sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku dan mesti dielakkan kerana ianya akan menjadi bahan ejekan. Setiap perkataan membawa makna yang tersendiri dan kita tidak boleh sewenang-wenangnya mempermainkan hal tersebut... Jikalau tidak pandai atau tidak tahu berbahasa Inggeris saya rasa lebih senang ditulis "Bandar Proton" bukannya "proton siti".


Pemandangan di Proton City.

Selasa, 8 Mac 2011

Situasi 18- Papan Tanda

Sedang sibuk pakar-pakar bahasa berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu ada juga segelintir pihak yang tidak peka dan mengambil mudah perkara ini. Misalnya, ejaan yang terdapat pada papan tanda. Terdapat banyak kesalahan yang terdapat pada papan tanda yang terdapat di tepi jalan. Contoh yang paling dekat dengan saya ialah papan tanda yang terdapat di taman universiti, Tanjung Malim, Perak. Pada papan tanda tersebut terdapat kesalahan ejaan universiti yang dieja "university". Selain papan tanda di tepi jalan terdapat juga kesalahan ejaan di agensi-agensi tertentu. Seperti ejaan yang terdapat pada papan tanda klinik kesihatan. Masih dieja dengan ejaan lama iaitu "kelinik". Sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku, dan semua pihak harus peka dengan keadaan sekeliling. usaha memartabatkan bahasa harus dipergiatkan. Tindakan denda atau yang bersesuaian dengannya boleh diambil bagi mengatasi masalah ini dari terus berleluasa..
p/s: Cakna dengan persekitaran anda!!

Jumaat, 4 Mac 2011

Situasi 17- Pengaruh sms dalam kalangan kanak-kanak

Malam tadi adik saya yang berumur 9 tahun telah menghantar sms kepada saya, sms tersebut berbunyi:


Long takdi abang telefon wakpa long dok angkat?
(long tadi abang telefon kenapa tak angkat?


ulasan: di sini kita dapat lihat adik saya mengeja mengikut apa yang disebutnya iaitu terdapat sedikit lohgat Terengganu mengikut ejaannya. Hal ini sangat berbahaya kerana kalau dibiarkan mungkin akan mempengaruhinya dalam urusan seharian atau di sekolah terutama dalam penulisan. Saya sudah berusaha menggunakan bahasa yang betul ketika menghantar pesanan ringkas kepadanya, namun dia masih menggunakan singkatan atau ejaan mengikut bahasa daerah. Pengawasan oleh orang dewasa sangat perlu bagi memastikan bahasa sms tidak disalah gunakan seperti remaja sekarang menggunakan ringkasan perkataan contohnya:
meh = mari
jln= jalan
g = pergi
wat = buat
p/s: cintailah bahasa kita.






Gambar hiasan

Situasi 16-Kecindan

Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang indah. Buktinya semasa di dalam kelas seorang pensyarah menggunakan perkataan kecindan untuk menggantikan perkataan lawak. Saya tidak pernah mendengar perkataan tersebut sebelum ini dan sangat suka dengan penggantian perkataan tersebut. Saya akan menggunakan perkataan tersebut dalam perbualan seharian kerana saya menganggapnya sebagai sesuatu yang unik. Usaha pensyarah ini sangat bagus kerana dapat meningkatkan kosa kata dan pengetahuan  kami sebagai pelajar yang dahagakan ilmu pengetahuan. Beliau mengatakan untuk menjadi seorang guru mesti ada unsur kecindan dalam pengajaran. Hal ini kerana karakter yang dibawa oleh guru boleh mempengaruhi pelajar dalam banyak hal. oleh itu, sebagai bakal guru belajar-belajar lah membuat lawak atau memasukkan unsur kecindan dalam pengajaran.

Situasi 15- PTPTN

Semasa perjalanan pulang dari kelas saya terdengar perbualan beberapa orang pelajar.


Pelajar 1: Babi tol PTPTN ni. dia ingat mak bapak aku perdana Menteri ke? anak dorang tak apelah kaya-kaya.
Pelajar 2: Wei, ni bukan salah PTPTN, salah UPSI la. PT dah masuk duit. UPSI yang tak nak bagi duit kita tu.
Pelajar 3: Korang ni sabo jelah bukan ke duit dah masuk RM250.. gunalah duit tu dulu.


Ulasan: Situasi ini bukan pertama kali saya dengar di sekitar kampus, kolej dan di mana-mana sahaja di sekitar tempat saya tinggal. memang la duit sangat penting dalam kehidupan mahasiswa. tetapi mengeluarkan kata-kata yang tidak bermoral sebagai seorang mahasiswa sangat tidak sesuai. kerana sebagai seorang mahasiswa, mesti menunjukkan sikap yang positif sebagai bijak pandai bukan hanya menunding jari menuduh orang lain, sebaliknya bersabar dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.situasi ini menunjukkan mahasiswa tersebut tidak menunjukkan sikap sabar dan juga tidak bersyukur menerima wang PTPTN sebanyak RM250 untuk meringankan beban mereka.

Situasi 14- Cukup lagi baju dia

Situasi ke-15 menunjukkan antara perbualan saya dan rakan serumah. Dia mengajak saya untuk melihat gambar anaknya. Semasa die menceritakan tentang anaknya dia ada menyebut:


Rakan serumah: baju ni cukup lagi untuk anak saya.
Saya : cukup?
Rakan serumah : cukup tu maksudnya masih boleh dipakai.
Saya: oohhh... baru saya faham...


Ulasan saya: mengikut kefahaman saya perkataan cukup itu lebih sesuai digunakan untuk bilangan, contohnya jumlah baju anak saya cukup untuk dipakai selama seminggu. Tetapi kalau digunakan untuk menunjukkan situasi di atas agak tidak sesuai...
                                       Pakaian yang masih muat dipakai@cukup lagi pakaian ini.

Situasi 13- Buat ramai

Hari ini saya menonton sebuah drama tv yang bertajuk anak mamak. Dalam drama tersebut banyak kali menyebut tentang 'buat ramai'. Pada awalnya saya tidak faham maksud 'buat ramai' tersebut. setelah perkataan tersebut diulang beberapa kali barulah saya faham. Buat ramai bermaksud 'buat kecoh' dalam dialek penang. Agak berbeza dari segi sebutan. Namun dialek daerah merupakan sesuatu yang sangat unik dan menjadi satu budaya masyarakat setempat.
p/s: Kalau saya salah tolong betulkan ya....

Rabu, 2 Mac 2011

Situasi 12- Teguran Kasar

Seperti biasa malam selasa dan isnin aku ke kelas latihan silat. Di dalam bas, aku memilih untuk berdiri di hadapan pintu sahaja. Tetapi kedudukan aku tidak menghalang laluan pelajar lain untuk masuk ke dalam bas. Tiba ada seorang pelajar perempuan yang sibuk bermain telefon bimbitnya masuk dan berdiri ditengah-tengah dalam laluan di dalam bas. Tiba-tiba pemandu bas yang naik angin menjerkah beliau, dialognya seperti berikut:


Pemandu: hey, kau kalau nak main handphone kau masuk belakang la, yang kau tercegat di situ buat apa? (dengan nada yang sangat tinggi dan marah-marah)
Budak itu agak terkejut dengan jerkahan tersebut, lalu beredar ke belakang.


Komen : Jerkahan pemandu bas itu agak tidak berasas, pelajar itu tidak bergerak ke belakang kerana tidak ada pelajar lain lagi yang nak masuk ke dalam bas, dan jikalau ada pelajar lain sekalipun, pemandu bas tersebut boleh menggunakan kata-kata yang sopan untuk menegur orang lain.

Situasi 11- Bangas

Hari ini saya tidur di rumah rakan kerana menyiapkan tugasan yang agak banyak. Semasa sibuk membuat tugasan tiba-tiba ahli rumah kawanku menjerit:


Ahli rumah 1: sape punya epal dah bangas ni?
Ahli rumah 2: bangas tu apa? ( sama dengan apa yang ada dalam fikiranku )
Ahli rumah 1: bangas tu busuk atau basi la, tu pun kau tak tahu. ( sebenarnya aku pun tak tahu )


Baru saya tahu rupanya perkataan bangas itu membawa maksud makanan yang dah basi. kalau di tempat saya biasanya di sebut belengas. Sebutannya agak berbeza mengikut dialek masing-masing.


Terengganu-Basi= belengas
Sabah- Basi= bangas.
Sekadar gambar hiasan