Selasa, 15 Mac 2011

Situasi 32 - borak

Assalamualaikum.. Situasi kali ini berkenaan dengan dialek. Pagi tadi selepas bangun dari tidur, rakan sebilik saya telah mengadu tentang dia telah digigit nyamuk. Perbualannya adalah seperti berikut:


Rakan sebilik: Kak, tengok ni tangan saya borak sampai macam ni kena gigit nyamuk.
Saya: Ha, borak? apa tu?
Rakan sebilik: Borak tu merebak atau semakin teruk la kak.
saya: Owh.


Borak merupakan dialek kelantan yang membawa maksud merebak, sangkaan saya borak tu membawa maksud bersembang seperti mana yang diketahui umum.
penyakit borak=merebak








berborak





Isnin, 14 Mac 2011

Situasi 31- Toyu

Selama 23 tahun hidup di dunia, hari ni baru pertama kali aku mendengar perkataan Toyu. Toyu ialah nama lain kicap bagi dialek kedah. Saya dapat mengetahui nama lain bagi kicap tersebut semasa menyiapkan tugasan subjek semantik. Tiba-tiba kawan saya yang berasal dari johor memberitahu bahawa dia terjumpa panggilan lain bagi kicap di internet. Pada mulanya kami agak tidak percaya dan untuk kepastian saya telah bertanya kepada seorang rakan yang berasal dari Kedah. Rakan dari Kedah tersebut juga memanggil kicap menjadi toyu. Saya tidak pasti kenapakah kicap dipanggil toyu dan saya akan cuba mencari sebabnya kerana panggilan toyu bagi saya sangat unik berbanding dengan kicap. Itulah keunikan dialek daerah yang sudah tentu menjadi kebanggaan penuturnya.

Situasi 30- sebutharga

Semalam, saya dan kawan-kawan dalam perjalanan untuk ke kelas. sepanjang perjalanan kami singgah di BE Learning untuk melihat iklan atau berita semasa yang dipaparkan di papan kenyataan. Tiba-tiba saya terpandang satu perkataan iaitu 'sebutharga'. Saya agak pelik kerana perkataan tersebut dieja rapat kerana dalam pengetahuan saya hanya kata majmuk tertentu yang boleh dieja secara rapat dan kata majmuk yang lain hendaklah dieja secara terpisah. Kata majmuk yang telah mantap ejaannya ialah:
antarabangsa, setiausaha, beritahu, sukarela, bumiputera, suruhanjaya, jawatankuasa, tandatangan, kakitangan, tanggungjawab, kerjasama, warganegara, olahraga, pesuruhjaya dan matahari.


Berdasarkan contoh di atas, jelas terbukti bahawa perkataan 'sebutharga' tidak tergolong dalam kata majmuk yang telah mantap, oleh itu 'sebutharga' mesti dieja terpisah seperti berikut:
                                
                                   "SEBUT HARGA"




Kesalahan ejaan kata majmuk.

Ahad, 13 Mac 2011

Situasi 29- susah sangat nak sebut baiklah!

Situasi ke-28 berkenaan komunikasi pelajar dalam situasi formal. Walaupun sudah melangkah ke semester enam, tetapi ramai dalam kalangan kita masih tidak dapat membiasakan diri kita dalam situasi formal dan berbahasa menggunakan bahasa Melayu yang betul. Contohnya perkara yang paling senang pun kita sering tidak cakna iaitu penggunaan perkataan 'ok'. Ok yang membawa maksud baiklah, menjadi kegemaran semua orang termasuk mahasiswa dan mahasiswi yang terpelajar. Di dalam situasi tidak formal mungkin kita tidak pandang kesalahan-kesalahan tersebut, tetapi agak ketara dalam situasi formal. Jika perkara yang senang pun kita tidak dapat mengubah, apatah lagi perkara yang susah. Baiklah, sama-samalah kita renungkan.



Situasi 28- Dialek Hulu Terengganu

Situasi ini berlainan dengan situasi sebelumnya, saya ingin mengajak kawan-kawan untuk mengenali dan belajar keunikan dialek hulu terengganu yang agak berbeza dengan dialek terengganu. contohnya:


mari = marik
suka = sukey
sini = sinik
balik = balaik
ke mana = kuane
putih = putaih
sakit = sakait
bukit = bukait


Berikut merupakan contoh dialek hulu terengganu yang berbeza daripada dialek terengganu. Sebagai penduduk asal daerah tersebut, saya sedikit sebanyak telah mengkaji dan menilai penggunaan dialek masyarakat setempat. Dapat saya simpulkan bahawa setiap kampung dalam daerah hulu terengganu mempunyai dialek yang tersendiri bergantung kepada pengaruh luar yang masuk ke dalam kampung tersebut. Sekian. harap mendapat pengetahuan yang baru mengenai dialek hulu terengganu.

Situasi 27- Dekat sini

Penggunaan bahasa basahan sering berlaku semasa pembentangan di dalam kelas. Saya dan kawan-kawan sering kali ditegur oleh pensyarah tentang penggunaan kata sendi yang betul. Contoh kesalahan yang dilakukan semasa pembentangan:


"Dekat sini saya ada tunjukkan gambar-gambar yang berkaitan dengan pencemaran," kata Ahmad.


Sepatutnya perkataan 'dekat' mesti digantikan dengan kata sendi 'di'. Walaupun perkara ini telah banyak kali ditegur oleh pensyarah, namun saya dan rakan-rakan masih tidak mampu mengawal komunikasi semasa pembentangan kerana sudah menjadi kebiasaan dan amalan kami. Saya berharap situasi ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang dan sama-samalah kita meningkatkan bahasa kita ke arah bahasa Melayu tinggi.


Pensyarah yang sering menegur kesilapan kami.

situasi 26- Makro teaching

Assalamualaikum...
Situasi kali ini berkenaan dengan subjek yang dilalui oleh pelajar-pelajar semester enam iaitu subjek EDU. Saya tidak pasti sama ada kawan-kawan perasan atau tidak perkataan yang kita gunakan setiap hari. "Makro Teaching". Tidak bolehkah kalau kita sebut pengajaran besar atau apa-apa perkataan yang sesuai dalam bahasa Melayu sebagai ganti perkataan tersebut. Saya rasa usaha ini boleh dilakukan sebagai satu langkah memperkasakan bahasa Melayu di Universiti atau di sekolah.

Gambar hiasan